Monday, April 13, 2009

Doa sebelum masuk tandas

Diriwayatkan daripada Anas Ibnu Malik ra, daripada Rasulullah SAW, 'Bahawa apabila Rasulullah SAW masuk ke dalam tandas, baginda berdoa: 'Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau daripada syaitan jantan dan syaitan betina' - HR Imam Tirmizi

Keterangan

Ada beberapa pendapat mengenai maksud syaitan jantan dan syaitan betina. Sesetengah Ulama berpendapat bahawa syaitan jantan dan syaitan betina adalah jin (yang menjadikan tandas tempat tinggal mereka)  dan ada yang mengatakan ianya kejahatan dan kemaksiatan.

Apapun pengertiannya, yang pasti syaitan jantan dan syaitan betina merupakan gangguan, perkara tidak elok yang boleh memudaratkan kita.

Kita semua tahu maksud dan penggunaan tandas. Malah di kawasan lapang dan di dalam semak juga dianggap sebagai tandas sekiranya digunakan untuk qada' hajat.

Kita hendaklah membaca doa ini, sebelum masuk ke dalam tandas. Sekiranya berada di kawasan terbuka seperti di dalam semak, di tepi sawah atau di padang, bacalah sewaktu membuka seluar atau mengangkat kain.

Islam itu sopan dan menyuruh umatnya menjaga kehormatan agama dan diri, oleh itu carilah tempat yang terselindung daripada pandangan orang semasa qad'a hajat di kawasan terbuka.

Kesimpulan

Doa ini tetap dibaca oleh Rasulullah SAW (seorang rasul dan baginda mendapat jaminan Allah SWT akan dilindungiNya) bagi memohon perlindungan Allah daripada gangguan syaitan yang direjam, terutama semasa baginda masuk ke dalam tandas.

Apatah lagi kita manusia biasa, sudah pasti lebih memerlukan perlindungan Allah daripada gangguan jin, syaitan dan perkara yang mendatangkan kemudaratan.

Harus diingat bahawa walaupun kita berseorangan di dalam tandas, makhluk halus yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar tetap berkeliaran di sekeliling kita. Membaca doa ini akan menjadi pendinding bagi aurat kita dari pandangan jin.

Oleh itu, sebaik-baik permohonan kita kepada Allah SWT adalah sepertimana yang diajar Rasulullah SAW.

3 comments: